'Banyak jalan tidak selamat'

Kerajaan Selangor digesa beri keutamaan kepada projek pembaikan jalan dan menambahkan peruntukan bagi tujuan itu dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2020 esok. Gambar kanan: Kuan Chee Heng
A
A

SUBANG JAYA - Jalan raya berlubang, merekah dan tidak diturap lebih lima tahun antara isu yang perlu diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2020 esok.

Pengerusi Persatuan Penduduk Islam USJ16-27, Amran Ahmad berkata, banyak jalan yang kini sudah tidak selamat dilalui pengguna jalan raya terutama pengguna motosikal.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu memperuntukkan lebih banyak dana bagi menampal atau menurap jalan-jalan tersebut untuk keselesaan pengguna.

“Harapan kami supaya kerajaan negeri kali ini beri lebih peruntukan untuk kerja pembaikan jalan dan infrastruktur termasuk di taman perumahan.

“Banyak jalan yang kini berlubang dan merekah malah keadaan lebih membimbangkan bila hujan apabila penunggang motosikal berisiko terlibat kemalangan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Selain peruntukan untuk naik taraf jalan raya, Amran berkata, kerajaan negeri juga perlu memberi fokus kepada kerja naik taraf longkang di lokasi berisiko banjir.

Katanya, di kawasan Subang Jaya, sistem perparitan berusia puluhan tahun tidak mampu lagi menampung purata jumlah hujan ketika ini.

“Lihat sahaja di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, beberapa kali berlaku banjir kilat menyebabkan banyak kenderaan yang sedang menunggu di lampu isyarat terkandas dan tenggelam.

“Peruntukan lebih perlu diberi untuk atasi banjir di kawasan ‘hotspot’ kerana masalah ini menyebabkan kerugian kepada pengguna sekaligus menyusahkan mereka setiap kali hujan lebat,” katanya.

Bagi aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, kerajaan negeri harus memberi peruntukan sewajarnya dalam penambahan lampu jalan di laluan awam berikutan banyak kemalangan berlaku bukan sahaja akibat jalan berlubang dan rosak malah keadaannya gelap.

“Saya minta kerajaan bukan sahaja tambah peruntukan untuk kos pembaikan jalan malah perlu beri keutamaan kemudahan papan isyarat jalan dan sebagainya.

“Keadaan jalan ketika ini teruk ditambah waktu hujan. Banyak penunggang motosikal terpelanting langgar lubang jalan yang penuh lopak air. Harap kerajaan pertimbangkan keperluan ini,” katanya.