X

Kindly register in order to view this article
!

Mayat Daniel Danish sudah ditemui

Mayat Daniel dibawa naik oleh pasukan penyelamat. - Foto Ihsan Bomba
A
A

KUALA TERENGGANU - Mayat Daniel Danish Mohd Jasmin, 14, yang dilaporkan lemas sewaktu mandi di Sungai Kampung Seberang Tuan Chik di sini semalam ditemui pada jam 11.02 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan penyelam bomba kira-kira 50 meter dari lokasinya dilaporkan hilang.

“Bagi operasi hari ini pasukan penyelamat membuat pencarian dengan melakukan rondaan bot sehingga 1.5 kilometer daripada lokasinya jatuh iaitu di kiri dan kanan.

“Pihak bomba juga mendapat bantuan daripada Unit Pengesan K9 Bomba dengan dua ekor anjing digunakan dalam usaha mencari mangsa.

“Ia banyak membantu kerana kita dapat petunjuk tentang kedudukan mangsa selepas dikesan anjing berkenaan sehingga membawa kepada penemuan mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, seramai 50 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk anggota bomba, Rela, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Amal terlibat dalam usaha pencarian pada hari ini yang bermula seawal jam 7.50 pagi tadi.

Terdahulu mangsa yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelong Setiu bersama empat lagi rakannya pergi ke sungai berkenaan untuk memancing dan mandi kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Bagaimanapun beberapa minit kemudian ketika mandi di tebing sungai, Daniel dikatakan semakin ke tengah sungai dan gagal berpatah balik kerana arus kuat.