Buat laporan polis kena samun, tapi rupa-rupanya...

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang lelaki kerana membuat laporan polis palsu mendakwa disamun empat lelaki sehingga kerugian RM6,500 di Jalan Sejahtera, Machang Bubok, di sini awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 20 tahun itu membuat laporan palsu kerana mahu menangguhkan bayaran hutang kepada rakannya kerana duit yang dipinjamnya sebanyak RM8,000 telah digunakan untuk membayar hutang ah long.

"Lelaki itu membuat laporan polis kononnya dia disamun empat lelaki menaiki dua buah motosikal bersenjatakan pisau ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira jam 3 pagi sebelum suspek melarikan beg yang diletakkan dalam raga motosikalnya yang mengandungi RM6,500," katanya di sini hari ini.

Katanya, hasil siasatan lanjut, lelaki itu mengaku membuat laporan palsu kerana tiada wang untuk membayar hutang rakannya dan dia ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT jam 6 petang semalam.

Menurutnya, lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu direman empat hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata, polis berjaya menumpaskan geng pecah rumah selepas menahan tiga lelaki berusia 23 hingga 30 tahun di hadapan sebuah hotel bajet di Machang Bubok, di sini semalam.

"Bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menjalankan Ops Bersepadu sebelum menahan ketiga-tiga lelaki itu kira-kira jam 10 pagi dan pemeriksaan mendapati mereka terlibat dengan beberapa kes pecah rumah," katanya.

Katanya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah dan pelbagai barangan hasil kegiatan itu antaranya iPad, sejumlah sim kad serta telefon bimbit.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tiga lelaki yang turut positif dadah dan masing-masing mempunyai 10 hingga 14 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu direman selama lima hari untuk siasatan lanjut. - Bernama