Mulut ditekup serbuk lada, pemandu e-hailing disamun penumpang

No Image Caption
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang pemandu kenderaan e-hailing kerugian kira-kira RM35,000 selepas disamun dua penumpang di dalam kereta dipandunya di Jalan Susur Taman Rinting di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang juga wanita tempatan berusia 26 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berdasarkan keterangan, dua suspek yang juga penumpang kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa ini diambil kira-kira jam 7.30 malam di Johor Bahru dan mahu menuju ke Taman Rinting.

“Sebaik tiba di susur keluar laluan berkenaan, salah seorang suspek mengarahkan mangsa untuk berhenti secara tiba-tiba sebelum salah seorang lagi suspek yang berada di tempat duduk belakang bertindak menutup mulut mangsa.

“Suspek telah menutup mulut mangsa dengan tangan yang dipercayai dilumur dengan serbuk lada kerana telah mengakibatkan mata mangsa berasa pedih,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, dengan keadaan mata pedih dan pandangan yang terjejas, suspek kemudiannya menarik mangsa keluar daripada kenderaan dipandunya itu.

“Sebaik sahaja mangsa keluar daripada kereta itu, kedua-dua suspek ini terus memecut kenderaan terbabit dan melarikan diri. Kita sedang melakukan siasatan untuk membantu usaha mengesan kedua-dua suspek ini.

“Melihat daripada apa yang terjadi, polis memohon orang ramai terutamanya pemandu kenderaan e-hailing seperti ini untuk lebih berwaspada ketika mengambil penumpang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga turut menyarankan pemandu kereta bagi perkhidmatan itu untuk sentiasa jelas dan mengenalpasti wajah penumpang mereka bagi membantu siasatan polis sekiranya terlibat dengan kejadian-kejadian seperti itu berlaku.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.