X

Kindly register in order to view this article
!

Peralihan jawatan PM bukan perkara mendesak: Anwar

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A

PENAMPANG - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peralihan jawatan Perdana Menteri bukanlah satu perkara mendesak sebaliknya semua kepimpinan dalam Pakatan Harapan (PH) harus memberi perhatian penuh kepada soal pembangunan lebih mampan untuk rakyat.

“Saya tidak fikir ini (peralihan jawatan Perdana Menteri) begitu mendesak. Saya berpendapat, kita beri kerjasama dan sokongan kepada kerajaan untuk tumpu perhatian soal pembangunan ekonomi dan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi yang sangat mendesak sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PKR Sabah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai isu peralihan jawatan Perdana Menteri adalah tepat kerana keputusan peralihan itu perlu diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

“Apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri (Dr Mahathir) memang tepat. Pelantikan Perdana Menteri dan keputusan untuk peralihan daripada beliau kepada (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) kemudian saya diputuskan oleh majlis presiden.

“Oleh itu, soal waktu dan masa peralihan pun boleh dibincang dalam majlis presiden,” katanya.

Kelmarin, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju jika isu peralihan jawatan Perdana Menteri dibincangkan dalam Majlis Presiden PH kerana dalam majlis itulah cadangan untuk melantik para pemimpin PH dibuat dahulu.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, PKR akan memberi sokongan penuh kepada Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini yang dipilih sebagai calon PH untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Anwar berkata, PKR telah mengarahkan jentera parti pusat termasuk cabang Tanjung Piai dan Johor untuk membantu calon PH dalam memperhebatkan kempen pada PRK berkenaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!