'Suami nampak kurus, wajahnya serabut'

Umah Devi hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur melawat suaminya, Saminathan hari ini.
Umah Devi hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur melawat suaminya, Saminathan hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Suami pesan jaga diri, jaga keluarga dan anak sementara dia masih dalam tahanan," luah isteri kepada Exco Negeri Melaka, G Saminathan, V Umah Devi.

Umah, 31, berkata, masa sejam yang diberikan pihak polis digunakan sebaiknya ketika bertemu suami di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sempena Deepavali.

"Kami sekeluarga berasa sedih dalam pertemuan yang singkat ini, kami dapat bersentuhan dengan Saminathan.

"Kita turut menyediakan makanan kegemarannya iaitu tosai dan muruku untuk dia makan," katanya kepada media di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Umah berkata, keadaan diri suaminya kurus dan wajahnya serabut.

"Saya melihat tubuh suami sudah kurus dan wajah sudah berjambang, berbanding sebelum dia ditahan polis," katanya.

Sementara itu, seorang lagi waris tahanan yang enggan dikenali memaklumkan, adik bongsunya yang ditahan menangis ketika berjumpa keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Dia juga minta pihak berkuasa segera membebaskannya," katanya.

Dia bersama seorang abang datang dari Singapura untuk melawat adiknya seorang pemandu teksi yang ditahan polis berhubung kes LTTE.

"Kami bekerja di Singapura, setahun sekali baru berpeluang berjumpa dengan adik-beradik yang lain di Malaysia," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahanan LTTE dibenar bertemu ahli keluarga: KPN