Tanah runtuh: 50 keluarga dinasihatkan pindah

Ahmad Faizal ketika meninjau keadaan kesan runtuhan tanah di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid Ijok, hari ini.
A
A

LARUT - Sebanyak 50 keluarga di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid Ijok, Batu Kurau dinasihatkan berpindah berikutan kejadian tanah runtuh sehingga mengorbankan seorang penduduk kawasan itu semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko berlaku runtuhan semula tanah semula kerana hujan berterusan di kawasan itu.

Menurutnya, kerajaan negeri masih belum dapat memastikan keadaan keselamatan di situ sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

"Walaupun keadaan tidak begitu membahayakan kepada kawasan sekitar perumahan ini tetapi selagi kita belum dapat buat kajian keselamatan sepenuhnya maka lebih baik untuk mereka juga berpindah.

"Ia bukan satu arahan yang diwajibkan tetapi kita nasihatkan penduduk berdekatan berpindah untuk tempoh satu atau dua minggu sehingga kawasan di sini dapat dipastikan benar-benar selamat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak runtuhan hari ini.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan berusaha membantu penduduk yang terlibat menggunakan kemudahan yang ada bagi memudahkan proses perpindahan.

Sinar Harian semalam melaporkan seorang warga emas, Hanudin Bahazim, 60, ditemui meninggal dunia kira-kira jam 10.30 malam akibat tertimbus dalam runtuhan tanah di kediamannya.

Keadaan kesan runtuhan tanah yang mengorbankan seorang penduduk di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid Ijok, Batu Kurau, semalam.
Keadaan kesan runtuhan tanah yang mengorbankan seorang penduduk di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid Ijok, Batu Kurau, semalam.

Kejadian yang berlaku pada jam 6.25 petang itu turut menyebabkan dua lagi rumah berhampiran rosak dan dua wanita berusia 72 dan 24 tahun cedera akibat tertindih batu dinding dan terpijak paku.

Kejadian itu berpunca daripada tanah runtuh di Seksyen 16.4 Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi, Selama sehingga berlaku pergerakan tanah sepanjang 200 meter.

Ahmad Faizal berkata, selain tiga rumah berkenaan, kerajaan negeri turut mengarahkan lima lagi rumah berhampiran dikosongkan bagi tujuan keselamatan.

"Secara keseluruhannya terdapat lapan keluarga telah diarah mengosongkan rumah masing-masing, sementara 50 yang lain dinasihatkan berpindah.

"Bagi mangsa yang keadaan rumahnya telah rosak, retak dan sebagainya, kerajaan negeri melalui pejabat daerah akan memberikan bantuan segera," katanya.

Ketika lawatan itu, Ahmad Faizal turut berkesempatan menghadiri pengebumian Allahyarham Hanudin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras pada jam 11.30 pagi hari ini.

Ahmad Faizal turut sama membantu urusan pengebumian Allahyarham Hanudin, hari ini.
Ahmad Faizal turut sama membantu urusan pengebumian Allahyarham Hanudin, hari ini.