Banjir Jelebu: Dua daripada lima PPS ditutup

No Image Caption
A
A
A

JELEBU - Dua daripada lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini ditutup pada jam 10.35 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jelebu dalam kenyataan di sini berkata, dua pusat berkenaan ialah Masjid Kampung Poum dan Dewan Orang Ramai Kampung Chennah yang sebelum ini menempatkan seramai 40 mangsa daripada sembilan keluarga.

"Ini berikutan paras air di kampung berkenaan semakin surut dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dengan penutupan itu, ia menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS semakin berkurangan kepada 126 orang daripada 39 keluarga berbanding 166 orang pagi tadi.

Tiga lagi PPS yang masih beroperasi sejak dibuka pada Jumaat dan semalam ialah Balai Raya Kampung Juntai yang menempatkan 31 orang, Balai Raya Simpang Durian (57) dan Masjid Kampung Jerang (38).

Antara kampung terjejas ialah Kampung Telekong, Kampung Chennah, Kampung Juntai, Kampung Simpang Durian, dan Kampung Jerang. - Bernama

Artikel Berkaitan: