Jemaah Menteri lulus dasar Rahmatan Lil 'Alamin

MUJAHID
MUJAHID
A
A
A

SHAH ALAM – Kertas pelaksanaan dasar pentadbiran Islam baharu melalui pendekatan Rahmah sudah dipersetujui dan mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kertas dasar berkenaan mengutamakan pendekatan Rahmatan Lil ‘Alamin yang bersifat universal, inklusif, telus dan menyantuni untuk melahirkan masyarakat dan kehidupan lebih harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai agama, bangsa di negara ini.

Menurutnya, selain itu, prinsip Maqasid Syariah turut dijadikan teras dalam pembentukan dasar pentadbiran bercirikan Pentadbiran Islam Model Malaysia, sesuai dengan suasana, adat dan budaya bangsa Malaysia untuk dijadikan penanda aras global.

“Diharapkan dasar ini nanti dapat mengubah sudut pandang terhadap agama Islam yang hari ini diuji dengan fahaman jalur Islam yang keras dan ekstrem mahupun jalur Islamophobia.

“Dengan pelaksanaan dasar ini juga, diharapkan ia mampu memberi impak positif kepada rakyat dan negara dari aspek meningkatkan kesejahteraan sosial, kemakmuran dan perpaduan hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, harapan itu selari dengan hasrat manifesto Pakatan Harapan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan baru-baru ini.

“Dasar pentadbiran Islam melalui pendekatan Rahmah telah diperkenan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-65 pada 14 Mac 2019 dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 pada 4 Julai lalu,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mujahid, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjadi agensi pelaksana, manakala seluruh agensi pentadbiran Islam di bawah Persekutuan ditugaskan menjayakan dasar ini mengikut bidang masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Pentadbiran Islam juga akan bekerjasama rentas kementerian pada bidang yang dikongsi kepentingannya bersama.

“Insya-ALLAH, diharapkan agar perjalanan menuju sebuah negara Rahmah akan dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak,” katanya.