Beri peluang bekas pesalah juvana sertai perkhidmatan awam: Syed Saddiq

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A
PUTRAJAYA - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ismail Bakar akan melakukan pindaan sewajarnya untuk membolehkan bekas pesalah juvana diberi peluang berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq berkata, kerajaan perlu memainkan peranan sama untuk menawarkan peluang kedua kepada bekas pesalah juvana dan tidak hanya meletakkan tanggungjawab sosial berkenaan kepada sektor swasta sahaja.

“Dalam jangka masa panjang, tak bolehlah hanya kita syorkan sektor swasta untuk berikan peluang kedua tetapi dalam kerajaan sendiri kita tak ingin memberi peluang kedua," katanya kepada media selepas merasmikan Simposium Kemahiran Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di sini hari ini.

Sebagai kepimpinan melalui teladan, Syed Saddiq awal tahun ini telah mengambil Emam Safekri Ahmad Ghas, lepasan Sekolah Henry Gurney untuk berkhidmat di pejabatnya.

Syed Saddiq berkata, beliau juga telah membangkitkan keperluan untuk memberi peluang kepada bekas pesalah juvana berkhidmat di sektor kerajaan kepada Jemaah Menteri.

Menurutnya, kebanyakan pesalah juvana atau penghuni Sekolah Henry Gurney adalah mereka yang membuat jenayah kecil.

"Apabila mereka tiada pekerjaan, tiada hala tuju dalam hidup, kita pun tak nak hulurkan bantuan akhirnya dia re-offend (kembali melakukan jenayah), masuk balik ke sistem yang sama.

"Sebab itu kita kena pecahkan kitaran jenayah tersebut. Bantu mereka, berikan peluang kedua supaya akhirnya mereka ditempatkan semula ke dalam masyarakat sebagai komuniti yang membangun," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya juga komited untuk membantu belia yang keciciran atau yang bermasalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan melalui program My Future Youth, My Future Youth Plus dan Program Reben Kuning.
Artikel Berkaitan:


Di bawah program My Future Youth Plus, katanya, golongan belia berisiko akan diberikan intervensi awal dan laluan khas untuk menyertai bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sama ada kursus jangka pendek atau panjang sebelum ditawarkan pekerjaan.

Program Reben Kuning dan My Future Youth pula adalah untuk golongan belia yang di bawah kategori orang bawah pengawasan dan lepasan Sekolah Henry Gurney.

"Kita beri laluan khas juga bagi mereka untuk dilatih supaya akhirnya walaupun mereka ada rekod tersebut, tetapi mereka telah dilatih, diberi kemahiran dan akhirnya ditempatkan di syarikat-syarikat yang kita ada jalinan bersama industri TVET," katanya. - Bernama