Presiden Sudan didesak letak jawatan

Rakyat Sudan mendesak peletakan jawatan Presiden Omar al-Bashir susulan krisis ekonomi. - Foto AFP
Rakyat Sudan mendesak peletakan jawatan Presiden Omar al-Bashir susulan krisis ekonomi. - Foto AFP
A
A
A

KHARTOUM - SUDAN . Di saat Sudan berdepan krisis ekonomi yang semakin meruncing susulan kenaikan harga barang dan kekurangan komoditi asas, Presiden Omar al-Bashir menjanjikan pembangunan ekonomi yang bakal merubah nasib negara berkenaan pada Tahun Baharu ini.

Berucap sempena sambutan Hari Kemerdekaan Sudan ke-63 pada 1 Januari lalu, Bashir berkata belanjawan 2019 akan membantu negara mengharungi krisis semasa berhubung kenaikan kos sara hidup yang mencetuskan protes di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

"Pertama kali dalam sejarah, kita merangka belanjawan berdasarkan projek pembangunan, bertujuan mengurangkan bebanan rakyat dengan mengekalkan subsidi ke atas beberapa barangan, menaikkan gaji dan mengurangkan bebanan cukai.

"Kita bekerjasama dalam perkongsian strategik demi meningkatkan ekonomi dan menyediakan platform kukuh untuk asas pengeluaran nasional," kata Bashir yang turut menekankan hubungan dua hala dengan China, Rusia dan negara Teluk sebagai langkah mencapai sasaran berkenaan.

Sementara itu, protes anti kerajaan di bandar Atbara pada 19 Disember lalu, menyaksikan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata dan peluru hidup ke arah penunjuk perasaan yang menuntut peletakan jawatan Bashir yang telah memegang tampuk pemerintahan selama hampir tiga dekad.

Pihak berkuasa turut bertindak menutup sekolah dan perintah darurat dikuatkuasakan di beberapa wilayah. Laporan organisasi kemanusiaan, Amnesty International mendedahkan 37 orang terbunuh susulan protes yang berlangsung.

Penunjuk perasaan menuntut Bashir meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada kerajaan interim sehingga pilihan raya diadakan.

Presiden berusia 75 tahun itu bagaimanapun, meminta rakyat Sudan dari setiap lapisan politik agar bersatu dan mengadakan dialog demi mencari jalan penyelesaian.

Artikel Berkaitan:

MOHON BANTUAN LUAR

Susulan protes besar-besaran seluruh negara berikutan krisis ekonomi yang meruncing, Sudan kini berusaha mendapatkan bantuan dana dari negara luar bagi menyelamatkan keadaan.

Gabenor Bank Pusat, Mohamed Khair al-Zubair berkata, pihaknya sedang merangka pelan tiga bulan bagi meningkatkan hasil negara, membawa masuk tukaran asing dan mencetak lebih banyak wang kertas susulan kekurangan wang tunai dan kadar inflasi yang meningkat hampir 70 peratus.

Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut berkaitan negara mana yang dihubungi bagi mendapatkan bantuan.

Kenaikan kos sara hidup mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penunjuk perasaan dan ia dilihat cabaran terbesar buat Presiden Omar al-Bashir sejak memegang kuasa pada 1989.

Negara Afrika terbabit mengalami gejolak politik sejak Sudan Selatan menarik diri pada 2011 dan membawa bersama sekurang-kurangnya tiga suku simpanan minyak negara itu.

Sudan yang dahulu menjadi sekutu Iran, kini menjalin hubungan dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, ia turut membekalkan pesawat dan anggota tentera bagi membantu Presiden Yaman, Bashar al-Assad memerangi pemberontak Houthi.



Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!