Raja Salman lantik Menteri Luar baharu Arab Saudi

Putera Faisal juga merupakan penasihat kepada Putera Mahkota, Mohammed Salman.
A
A

RIYADH - Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman telah menamakan Putera Faisal Farhan al Saud sebagai Menteri Luar baharu kira-kira 10 bulan selepas pelantikan pendahulunya, Ibrahim al-Assaf yang diturunkan pangkat sebagai Menteri Negara, menurut Saudi Press Agency semalam.

Putera Faisal pernah berkhidmat sebagai Duta Saudi ke Jerman sejak beberapa bulan lalu selain pernah menjadi penasihat politik di Kedutaan Amerika Syarikat.

Beliau juga merupakan penasihat kepada Putera Mahkota, Mohammed Salman.

Sebelum ini, Ibrahim dilantik untuk menggantikan Adel al-Jubeir pada Disember 2018 selepas beliau antara kerabat diraja dan ahli perniagaan terkemuka yang ditahan di Hotel Ritz-Carlton di bawah kempen antirasuah yang menggemparkan negara itu pada November 2017.

Ketika pelantikan itu dibuat, banyak pihak melihat ia sebagai sebahagian usaha untuk memulihkan imej Riyadh susulan insiden pembunuhan kejam wartawan terkenal berpusat di Washington, Jamal Khashoggi pada Oktober 2018.

Di bawah dekri diraja tersebut, Nasser al-Jasser turut dilantik sebagai Menteri Pengangkutan menggantikan Nabil Mohammed al-Amoudi manakala Abdullah Sharaf al-Ghamdi dinamakan sebagai Ketua Pihak Berkuasa Data dan Kecerdasan Buatan serta Saleh Mohammed al-Othaim dinamakan sebagai timbalannya.

Selain itu, ia juga melantik Tariq Abdullah al-Sheddi sebagai Ketua Pejabat Pengurusan Data Kebangsaan manakala Essam Abdullah al-Waqit dipilih sebagai Pengarah Pusat Maklumat Kebangsaan. - Agensi