ADUN Bersatu mohon duduk bersama pembangkang dalam sidang DUN

Surat dihantar Mohd Shaid kepada Suee Lim tengah hari tadi. Gambar kiri: Mohd Shaid
Surat dihantar Mohd Shaid kepada Suee Lim tengah hari tadi. Gambar kiri: Mohd Shaid
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan beliau sudah menghantar permohonan menukar tempat duduk bersama pembangkang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Mohd Shaid berkata, surat itu dihantar kepada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim tengah hari tadi di Bangunan DUN Selangor.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan sebagai tanda protes terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu yang tidak menghormati kepimpinan tertinggi PH.

"Ini keputusan yang telah saya buat untuk duduk bersama-sama pembangkang dalam sidang DUN yang bermula 1 November depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun Mohd Shaid menegaskan, keputusan menukar tempat duduk itu tidak menyebabkan beliau keluar parti dengan menyertai pembangkang.

"Kita hendak tunjukkan kepada DAP atau mana-mana komponen Pakatan Harapan (PH) bahawa jangan cuba tunjuk hero, ugut dan cabar mencabar Bersatu kerana kita tidak gentar dengan ugutan.

"Bersatu ini sebuah parti bermaruah. Masa UMNO berkuasa, kita boleh keluar daripada UMNO, apatah lagi PH yang tidak berapa kuat ini," katanya.

Dalam surat itu, Mohd Shaid memohon pertukaran tempat duduk bersama pembangkang pada sesi sidang dewan mesyuarat ketiga, penggal kedua DUN ke-14.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mohd Shaid bersedia meninggalkan kerajaan PH Selangor sekiranya Ronnie tidak menghormati kepimpinan tertinggi PH.

Katanya, beliau yakin dan percaya bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu membina satu kerajaan baharu tanpa DAP sekali gus memadamkan keegoan DAP dengan membentuk gabungan kerajaan Melayu Islam yang baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Bersatu sedia tinggalkan PH tanda protes DAP