X

Kindly register in order to view this article
!

Komik propaganda dilarang di Malaysia: KDN

Komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' mendapat bantahan banyak pihak.
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap penerbitan tiga versi bahasa komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama iaitu bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

KDN dalam satu kenyataan berkata, warta perintah larangan itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

"Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata, penerbitan tersebut dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

"Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

"Ia juga boleh menimbulkan keraguan kepada pembaca khususnya generasi muda tentang sejarah Malaysia, seterusnya mempertikaikan usaha serta perjuangan tokoh atau pemimpin negara terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan negara," katanya.

Katanya, kandungan penerbitan ini juga dilihat tidak mengambil kira sensitiviti rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan dibimbangi boleh memecah-belahkan keharmonian serta perpaduan masyarakat di negara ini.

"Sehubungan itu, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000.00 atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8(2) Akta 301 tersebut.

"Sekiranya masyarakat awam mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang negara diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN di talian telefon 03 - 88868047 atau faks 03 - 88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my," katanya.