Abdul Azeez diarah keluar Dewan Rakyat

Abdul Azeez Abdul Rahim. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim diarah keluar dan digantung selama dua hari daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini.

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu menuduh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai berat sebelah.

Dewan kecoh apabila Ahli Parlimen Padang Terap (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid bertegas mahu membahaskan usul pengharaman komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ meskipun ditolak Mohamad Ariff kerana ia sedang dalam siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer ketika berdiri mencelah, meminta Mahdzir mendengar arahan Timbalan Speaker yang menolak usul tersebut seperti mana dalam surat diberikan kepada ahli Parlimen.

Celahan Rayer mendapat reaksi Abdul Azeez yang mengeluarkan perkataan 'shut up' (diam) dan meminta Rayer duduk.

Timbalan Speaker mengarahkan Abdul Azeez menarik balik perkataan 'shut up' sebelum mendengar ahli Parlimen Baling itu mengeluarkan kata berat sebelah kepada beliau.

"Saya dengar (berat sebelah) itu Baling, tarik balik. Saya telah arahkan Jelutong tarik balik perkataan bodoh (dilemparkan kepada Tumpat dan Arau semalam).

"Baling sebut saya berat sebelah. Betul atau tidak?, tarik balik. Sekali lagi sebut saya berat sebelah, saya usir keluar.

"Baling tarik balik (tuduhan berat sebelah) tapi masih bercakap seolah-olah tidak mendengar arahan saya," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Azeez menegaskan bahawa beliau sudah menarik balik pertuduhan itu dengan cara hormat dan enggan keluar dari Dewan Rakyat.