Ronnie jangan melampau: Abu Bakar

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu diingatkan supaya tidak bertindak melampaui batas dengan membuat kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan serta kerjasama antara parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya berkata, tindakan Ronnie mempersoalkan kedudukan Bersatu serta Pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap biadab selain melampaui pendirian pimpinan tertinggi PH.

Malah, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu katanya, tidak perlu berlagak sombong dengan membayangkan kononnya PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

"Saya ingin bertanya kepada Ronnie, apakah kenyataan beliau itu mewakili peribadinya atau pendirian DAP?. Apakah dia lupa bahawa Bersatu itu salah satu parti komponen dalam PH bersama-sama PKR, DAP, Amanah, Warisan dan Pertubuhan Pasokmmogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko)?

"Kenyataan beliau itu sudah tentunya mengundang pelbagai sentimen yang boleh menjelaskan hubungan antara parti dalam PH. Jangan lupa bahawa tanpa Dr Mahathir, PH mungkin tidak berpeluang untuk membentuk kerajaan pada hari ini. Itu faktanya," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri turut meminta kepimpinan DAP supaya lebih 'prihatin' berhubung tindakan Ronnie itu dan mengambil langkah yang sewajarnya.

Ronnie menerusi laporan sebuah portal berita tempatan hari ini mendakwa PH masih boleh membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Selain itu, beliau turut mendakwa Dr Mahathir mengejar model Barisan Nasional (BN) yang mempunyai parti dominan Melayu untuk mengawal pakatan itu.

Artikel Berkaitan:

Malah, Ronnie antaranya mempersoalkan pendirian Dr Mahathir yang menerima bekas ahli politik UMNO sebagai ahli Bersatu selain kegagalan Perdana Menteri itu menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.