Armada beri amaran kepada Ronnie Liu

A
A
A

SHAH ALAM - Armada Bersatu memberi amaran kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu supaya tidak 'menjolok sarang tebuan' di atas kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) akan tetap berjaya tanpa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Ulya Aqamah Husamudin menegaskan bahawa kenyataan angkuh Ronnie itu adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Perlu diingatkan juga yang pengalaman Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa ahli Bersatu lain yang pernah memegang tampuk pimpinan negara diperlukan bagi memacu pentadbiran negara yang baharu.

“Sebaiknya Ronnie fokus menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek), jangan jolok sarang tebuan. Sesungguhnya Ahli Amada Bersatu tidak akan teragak-agak mempertahankan parti keramat ini,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ronnie yang menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu.

Ronnie turut memberi amaran Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.

Ulya Aqamah mengingatkan Ronnie bahawa segala keputusan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah hasil keputusan konsensus bersama dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Maka katanya, konsep tanggungjawab bersama terpakai dan kesemua menteri dari Bersatu, PKR, Amanah dan juga DAP bertanggungjawab atas semua dasar dan arah tuju negara.

Artikel Berkaitan:

“Mahu atau tidak mahu, PH dengan konsensus telah memilih Dr Mahathir sebagai Pengerusi PH dan juga Perdana Menteri.

“Kita telah berjuang bersama sebelum ini dan hasilnya telah berjaya memenangi PRU yang lalu. Ingat kita menang kerana rakyat. Maka hentikan politik murahan ini dan fokus kepada tugasan masing-masing,” katanya.