RM3 juta naik taraf tiga jeti di Tanjung Piai

Salahuddin (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek peruntukan naik taraf tiga jeti di Pengkalan Penghulu, Serkat semalam.- Foto: Pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Salahuddin (tiga dari kiri) menyerahkan replika cek peruntukan naik taraf tiga jeti di Pengkalan Penghulu, Serkat semalam.- Foto: Pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
A
A
A

PONTIAN - Sebanyak RM3 juta disalurkan bagi membina semula dan menaik taraf jeti di Jeram Batu, Sungai Boh dan Pengkalan Penghulu sebagai usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur asas nelayan di kawasan Parlimen Tanjung Piai.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, projek pembinaan tiga jeti itu dijangka bermula pada tahun hadapan dengan pelbagai kemudahan akan dibina seperti kawasan tambatan bot, gerai makan dan jeti memancing.

“Ketiga-tiga projek ini dilaksanakan bukan sebab Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. Peruntukan yang diterima daripada Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) ini sebenarnya sudah dipohon Ahli Parlimen Tanjung Piai terdahulu iaitu Allahyarham Datuk Md Farid Md Rafik.

“Projek jeti ini termasuk dalam 17 projek di Tanjung Piai berjumlah RM14.7 juta. Mesyuarat Kabinet telah meluluskan serta-merta peruntukan yang telah dipohon oleh Allahyarham sebelum ini," katanya ketika mengadakan walkabout di Jeti Pengkalan Penghulu, Serkat di sini semalam.

Terdahulu, Salahuddin turut melawat jeti di Jeram Batu dan Sungai Boh.

Turut serta, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan; Timbalan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Johor, Dr Mohd Khalid Abdul Samad dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jamaludin Othman.

Salahuddin bersalaman dengan nelayan sewaktu mengadakan Walkabout di Jeti Jeram Batu, Pekan Nanas pagi semalam. - Foto: Pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Salahuddin bersalaman dengan nelayan sewaktu mengadakan Walkabout di Jeti Jeram Batu, Pekan Nanas pagi semalam. - Foto: Pejabat Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

Artikel Berkaitan:

Salahuddin seterusnya menyatakan komitmen untuk membantu nelayan dengan penglibatan keluarga mereka dalam perniagaan kecil-kecilan seperti menjual makanan.

“Walaupun saya bukan wakil rakyat di sini tetapi saya anak Serkat. Kita bukan nak bantu nelayan sahaja tetapi anak, isteri, saudara nelayan juga hendak dibantu, kerana itu ada program Rezeki Tani, Rezeki Nelayan dan Rezeki Ternak," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengkalan Nelayan Jeti Pengkalan Penghulu, Jahuri Nawi, 64, berterima kasih atas peruntukan disalurkan kerajaan bagi menaik taraf jeti Pengkalan Penghulu Serkat.

Katanya, jeti berkenaan menempatkan sebanyak100 bot nelayan pantai dengan kemudahan disediakan seperti tempat pendaratan ikan dan laluan pejalan kaki.

“Syukur nelayan di sini dapat tengok jeti berubah wajah dengan kemudahan lebih elok antaranya gerai dan tempat memancing. Terima kasih kepada kerajaan," katanya.