'Pemberian geran tiada kaitan dengan PRK Tanjung Piai'

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun menafikan pemberian geran kepada Jawatankuasa Pengurusan Tanjung Piai, Johor oleh beliau baru-baru ini bertujuan untuk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Sebaliknya, Rina yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kelulusan bagi projek itu telah diputuskan sebelum adanya pengumuman PRK itu lagi.

Menurutnya, adalah tidak adil untuk kerajaan menghentikan sebarang pembangunan untuk rakyat semata-mata tidak ingin dikaitkan dengan kempen 'membeli' jiwa rakyat.

"Ini hanyalah satu pengumuman yang tiada kaitan dengan PRK. Sekalipun tiada PRK, kita akan umum perkara yang sama dan saya juga boleh umumkan (projek-projek) untuk negeri-negeri lain sebab saya ada data penuh seluruh negara.

"PRK tidak (seharusnya) mengehadkan kita (kerajaan) untuk menunaikan tanggungjawab (bantu rakyat) sebab geran itu bukan hari ini kita mintak terus dapat. Kita ada proses-proses yang perlu dilalui.

"Jadi tidak adil sekiranya pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar terpaksa dihentikan kerana adanya PRK," katanya pada sidang media di Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 di sini hari ini.

Terdahulu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dalam satu kenyataan media meluahkan rasa kecewa kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai kerajaan.

Dalam kenyataan media itu turut menyebut, Rina yang mewakili kementeriannya telah membuat kunjungan ke Tanjung Piai pada 15 Oktober lalu dan memberikan geran kepada jawatankuasa pengurusan Parlimen itu.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Tanjung Piai, Johor pada 16 November depan.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, daripada Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.