Data penerima PSP selamat, terjamin : Saifuddin

Saifuddin Nasution
A
A

BANGI - Masalah kebocoran nombor akaun bank penerima Program Subsidi Petrol (PSP) yang terdedah di portal rasmi PSP sebelum ini telah selesai dan keselamatan data penerima adalah terjamin, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, langkah pembetulan telah dilakukan ke atas portal tersebut oleh pasukan kementerian yang bertanggungjawab dalam masa beberapa jam selepas masalah itu dilaporkan.

"Masalah itu berlaku dalam tempoh yang tidak panjang dan ianya telah segera diperbaiki. Sistem itu berjaya dilindungi dan keselamatan data penerima adalah terjamin," katanya kepada media selepas merasmikan Hari Sukan Keluarga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya masih menunggu laporan KPDNHEP berhubung nombor akaun bank penerima PSP yang terdedah di portal rasmi PSP.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata, tiada laporan perlu dibuat kerana beliau telah berhubung dengan menteri dan memaklumkan bahawa masalah itu telah berjaya diselesaikan.

KPDNHEP dalam kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya telah meningkatkan sistem dan keselamatan data laman web sebelum mengaktifkannya semula untuk diakses orang ramai.

Dalam pada itu, sebagaimana diumumkan menteri tersebut sebelum ini, seramai 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada golongan B40 yang layak menerima bantuan PSP boleh menyemak kelayakan mereka melalui portal psp.kpdnhep.gov.my bermula 15 Oktober.

Beliau berkata, lebih 1.6 juta hits diterima dalam masa tiga hari sejak portal tersebut dilancarkan.

"Untuk tiga hari pertama sehingga 17 Oktober, sebanyak lebih 218,000 permohonan PSP yang layak dan dikemas kini dicatatkan oleh portal terbabit," katanya.

Katanya, melalui jumlah tersebut menunjukkan bahawa kepentingan portal PSP untuk memastikan golongan yang layak berada dalam senarai menerima bantuan bersasar berkenaan.

"Fokus kementerian sekarang adalah memastikan agar tiada yang tercicir, jadi kita mengajak rakyat untuk semak di portal dan semua talian KPDNHEP bagi mengemas kini maklumat mereka," katanya. - Bernama