X

Kindly register in order to view this article
!

‘Siapa tak mahu emas?’

Ong Kim Swee
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee boleh dianggap sebagai jurulatih penuh berpengalaman setiap kali berlangsungnya temasya Sukan SEA.

Apa tidaknya, pengendali berusia 48 tahun itu sudah lima kali membimbing skuad B-23 negara bagi menghadapi Sukan SEA termasuk edisi kali ini yang bakal berlangsung di Filipina bulan depan.

Bagi Kim Swee, setiap barisan pemain yang dibimbingnya bermula dengan era ‘skuad emas’ edisi 2011 memiliki karakter tersendiri, baik dari segi kekuatan mahupun kelemahan masing-masing.

Atas dasar itu, Kim Swee sekali lagi menaruh keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan anak-anak buahnya dalam misi memburu kejayaan gemilang pada temasya Sukan SEA kali ini.

“Apa yang boleh saya katakan, inilah barisan terbaik kita. Walaupun saya belum memuktamadkan senarai akhir pemain yang akan beraksi di Filipina nanti tetapi saya percaya dengan kemampuan mereka.

“Dari sudut positifnya, majoriti pemain terbabit telah bersama-sama dalam satu pasukan sejak dua tahun lepas. Kebanyakan daripada mereka telah beraksi dalam (kempen kelayakan) Kejuaraan AFC 2017,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebagai rekod, Kim Swee berjaya membimbing skuad B-23 negara meraih emas pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia, sekali gus mempertahankan ‘ibu segala pingat’ ketika Harimau Muda kendalian Datuk K Rajagobal mengecap kemasyhuran yang sama pada edisi 2009 di Vientiane, Laos.

Biarpun gagal mengekalkan kilauan emas pada edisi 2013 di Myanmar dan 2015 (Singapura), Kim Swee hampir meletakkan kembali anak-anak buahnya di podium ‘sang juara’ pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Begitupun, Kim Swee dan skuad kendaliannya terpaksa akur kepada Thailand apabila tewas 0-1 pada aksi final di Stadium Shah Alam.

“Saya percaya para pemain yang akan menggalas cabaran negara pada Sukan SEA kali ini mampu membawa pulang pingat. Namun, saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka dengan meletakkan sasaran warna pingat.

“Siapa yang tidak mahu menang emas? Sudah pasti bukan saja saya, malah para pemain juga mahukan emas. Cuma saya harapkan mereka lebih bersedia kali ini dan beraksi tanpa sebarang tekanan.

“Para pemain juga diingatkan agar bermain pada tahap paling baik dalam saingan peringkat kumpulan sebelum mereka memikirkan aksi semi final dan final nanti,” ujarnya.