Dua angkasawan wanita NASA catat rekod baharu

No Image Caption
A
A
A

WASHINGTON - Dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) yang keluar daripada Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) kira-kira tujuh jam pada Jumaat, dianggap mencatatkan satu rekod baharu apabila misi itu dijayakan oleh wanita, lapor agensi berita Xinhua.

Angkasawan NASA, Christina Koch dan Jessica Meir menggunakan baju angkasawan yang dikuasakan bateri kira-kira 7.38 pagi sebelum keluar ke angkasa lepas.

Mereka ditugaskan untuk menggantikan peranti kawalan kuasa pada penggalak yang rosak pada 11 Oktober lalu.

Alat pengatur caj bateri berkenaan berfungsi sebagai mengumpul dan mengagihkan kuasa solar kepada makmal angkasa lepas berkenaan, kata NASA.

Pada jam 2.55 petang, Koch dan Meir menyempurnakan misi mereka selama tujuh jam dan 17 minit selepas menggantikan alat berkenaan.

Selain menggantikan alat berkenaan, mereka turut melakukan tugasan lain termasuk memasang peralatan bagi menyokong sebuah platform luar bagi modul Columbus yang dijadual dilancarkan ke stesen berkenaan pada tahun depan.

Presiden, Donald Trump turut berkesempatan berbual dengan dua angkasawan itu ketika mereka melaksanakan misi.

Trump menyifatkan kedua-dua wanita itu sebagai 'manusia berani' dan menganggap misi berkenaan sebagai 'bersejarah'.

Artikel Berkaitan:

Menerusi telekomunikasi angkasa ke bumi, Meir turut menghargai angkasawan wanita yang pernah meneroka di ruang vakum angkasa lepas sebelum ini.

Beliau adalah wanita ke-15 berpeluang terapung dan meneroka di luar kapal angkasa dan wanita ke-14 AS.

Misi keluar dari kapal angkasa itu adalah yang ke-221 dalam usaha memasang stesen angkasa lepas berkenaan, membaik pulih serta melakukan kerja-kerja menaik taraf dan yang kelapan membabitkan di luar stesen berkenan pada tahun ini. - Bernama