[VIDEO] Aidil jangka Kedah lawan Pahang sengit

Pemain-pemain Kedah giat melakukan latihan di Stadium Sultan Abdul Halim untuk mendapatkan kecergasan pada tahap terbaik sebelum aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 bertemu Pahang malam esok.
A
A

SEMUA pemain utama Kedah bersedia menerima kunjungan Pahang bagi aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman malam esok.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau mengakui pasukannya bakal berdepan satu perlawanan yang sengit apabila menghadapi lawan dibarisi ramai pemain berkualiti termasuk beberapa pemain negara.

Menurutnya, kualiti dimiliki Tok Gajah diakui oleh semua pihak apabila pasukan kendalian Dollah Salleh itu muncul pasukan kedua terbaik Liga Super 2019 selepas kelab JDT.

"Kita tahu kekuatan Pahang, sebuah pasukan yang dibarisi pemain-pemain berpengalaman dan yang paling penting, Kedah perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di Darul Aman walaupun kita sedar perkara ini bukan satu tugas yang mudah," katanya kepada media selepas ditemui di Stadium Sultan Abdul Halim.

Aidil berkata, Lang Merah perlu mendapatkan bekalan sebelum aksi timbal balik di Kuantan pada 26 Oktober depan.

Beliau berkata, setakat ini rata-rata pemain utamanya sedang mendapatkan kecergasan pada tahap maksimum selepas ada dalam kalangan mereka baru sahaja balik daripada tugasan bersama pasukan negara.

"Saya percaya, satu persembahan pada momentum yang tinggi bakal dipamerkan kerana kedua-dua pasukan mahukan kemenangan. Kedua-dua pasukan tidak akan bermain secara bertahan," katanya.