[VIDEO] Gerakan tetap bertanding di PRK Tanjung Piai

DOMINIC
DOMINIC
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai tetap dengan pendirian untuk meletakkan calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai meskipun menerima pelbagai kecaman termasuk digesa menarik diri.

Dominic berkata, PRK itu disifatkan sebagai medan tempur dan pihaknya bersiap sedia untuk bertanding serta berdepan parti lawan bagi memastikan kemenangan calonnya.

"Gerakan telah terima pelbagai kecaman sejak pengumuman untuk turut bertanding pada PRK Tanjung Piai, selain menerima banyak pandangan serta nasihat supaya tarik diri daripada bertanding.

"Bagaimanapun, Gerakan tetap dengan pendirian meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan. Pertandingan ini adalah sihat untuk melihat perkembangan politik semasa yang relevan di mata rakyat, namun Gerakan tidak menolak kemungkinan lain jika ditakdirkan keajaiban berlaku ketika mengundi," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai cabaran besar untuk parti kerana ia adalah pilihan raya 'sulung' Gerakan sejak keluar daripada BN dan berharap jentera parti berusaha mengembalikan semula kegemilangan parti itu.

Dominic turut optimis terhadap sokongan rakyat kerana Gerakan adalah sebuah parti multinasional dan lebih mudah diterima oleh pengundi di Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau turut mengakui kemenangan pihaknya dilihat tipis jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon daripada MCA, namun percaya BN akan meletakkan calon UMNO untuk berdepan lawan di Tanjung Piai.

"Kita tidak menolak kemungkinan calon daripada Gerakan bakal berdepan calon UMNO di Tanjung Piai. Ini sahaja landasan yang membolehkan UMNO dan Pas menguji kekuatan penyatuan mereka di peringkat akar umbi.

Artikel Berkaitan:

"Ia adalah persaingan yang positif untuk melihat aras politik dalam kalangan pemimpin parti dan parti itu sendiri," ujarnya.