Rozhan dilantik pengerusi baharu MyIPO

Dr-Rozhan-Othman
Dr-Rozhan-Othman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hari ini mengumumkan pelantikan Dr Rozhan Othman sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa 12 Disember 2018.

Rozhan yang berkelulusan PhD dari University College Dublin dalam Sarjana Pengurusan Perniagaan dan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Ohio, menggantikan Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Menurut MyIPO dalam satu kenyataan, Rozhan mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam kajian pengurusan, perunding dan latihan serta merupakan profesor dalam pengurusan di beberapa buah universiti tempatan dan luar negara.

Beliau yang kini merupakan Penasihat Strategik Bukan Eksekutif kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menghasilkan beberapa buah buku dan menerbitkan artikel-artikel di jurnal antarabangsa berkaitan pelbagai isu pengurusan.

Dalam kenyataan sama, turut diumumkan pelantikan Datuk Mohd Roslan Mahayudin sebagai Ketua Pengarah MyIPO baharu berkuat kuasa hari ini.

Mohd Roslan telah berkhidmat di dalam kerajaan lebih 31 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah Penguatkuasa, Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

MyIPO turut mengumumkan pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNHEP Datuk Muez Abd Aziz dan perunding utama pendrafan garis panduan kebangsaan bagi harta intelek dan persaingan, Prof Dr Ida Madieha Abdul Ghani Azmi, masing-masing berkuat kuasa pada 24 Oktober dan 12 Disember 2018 sebagai anggota perbadanan mereka yang baharu. - Bernama

Artikel Berkaitan: