Penghantar makanan didakwa rogol pelajar 15 tahun

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
A
A

AMPANG- Seorang penghantar makanan didakwa atas dua pertuduhan merogol seorang pelajar sekolah menengah pada April dan Mei lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Arief Samsudin, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Memanda, Ampang Point, Selangor pada 3.40 petang, 14 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama di sebuah bilik hotel di Ampang Waterfront, Ampang, Selangor pada 2.30 petang, 12 Mei lalu.

Jika sabit kedua-dua kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (Akta574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria, bagaimanapun tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira ini merupakan kesalahan serius dan perlu diberi pengajaran.

“Mangsa merupakan seorang pelajar dan bawah umur dan kesalahan ini tidak boleh dijamin,” katanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Faris Abrar Othman, bagaimanapun memohon agar jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan.

“Anak guam saya menjaga ibu bapanya yang uzur dengan pendapatan RM1,000 hingga RM2,000 sebulan sebagai penghantar makanan.

“Maka saya mohon kepada mahkamah agar jaminan dibenarkan kepada tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada 7 hari bulan pada setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Hakim Norhazani menetapkan 20 November untuk sebutan semula kes.