Perkukuh hubungan dua hala dengan Jerman

Tuanku Syed Faizuddin menyerahkan sumbangan Ibnu Sabil MAIPs kepada Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt.
Tuanku Syed Faizuddin menyerahkan sumbangan Ibnu Sabil MAIPs kepada Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt.
A
A
A

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa semua pihak berusaha memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Jerman.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat mengadakan kunjungan ke Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Altstadt, Frankfurt Am Main, Jerman baru-baru ini.

Baginda berbangga apabila hubungan Malaysia dan Jerman berada di tahap yang baik dengan perdagangan mencatat lebihan dagangan sejak dua tahun lalu.

"Pelbagai inisiatif kerjasama boleh diusahakan bagi meningkatkan hubungan antara Malaysia dan Jerman ke arah perkongsian kemakmuran bersama," titah baginda.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, M Mukundan bersama pegawai pelbagai agensi Kerajaan Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut meluangkan masa mendengar taklimat yang disampaikan selain berkenan menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa ‘Tabung Ibnu Sabil’ kepada pihak Pejabat Konsul Jeneral Malaysia Frankfurt.

Lawatan baginda diiringi Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Abang Patdeli Abang Muhi dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel Berkaitan: