Datuk saudara cabul budak perempuan enam tahun

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tergamak mencabul cucu saudaranya yang berusia enam tahun setiap kali datang menjemput kanak-kanak itu pulang dari tabika di Kuala Ibai di sini.

Bagaimanapun kejadian itu hanya diketahui ibu kanak-kanak perempuan itu selepas mangsa memberitahu yang suspek selalu memegang kemaluannya kira-kira jam 8 malam kelmarin.

Sebelum itu, kira-kira jam 12 tengah hari, ibu mangsa berusia 29 tahun ada meminta bantuan suspek, 44, untuk menjemput mangsa di tabika seperti biasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, bagaimanapun semasa mereka sedang berehat di rumah, mangsa tiba-tiba bertanyakan ibunya mengapa suspek sering menyentuh bahagian kemaluannya setiap kali menjemputnya di tabika.

"Wanita itu yang terkejut dengan pertanyaan mangsa mengulangi bertanyakan tentang perkara itu berkali-kali kepada mangsa sebelum dia memaklumkan suspek sudah beberapa kali melakukan perbuatan itu terhadapnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, wanita itu mendakwa mangsa memang sering mengadu sakit di kemaluannya sebelum ini tetapi dia langsung tidak mengesyaki apa-apa.

Berikutan kejadian, wanita itu membawa anak perempuannya itu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam untuk membuat pemeriksaan sebelum membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

"Susulan laporan dibuat, suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan selepas dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 11.15 malam," katanya.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.