Orang asli di Pahang jangan gusar isu tanah: Wan Rosdy

Wan Rosdy menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Padang Awam Pos Iskandar di sini.
Wan Rosdy menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Padang Awam Pos Iskandar di sini.
A
A
A

BERA - Masyarakat orang asli di Pahang tidak perlu gusar dengan hak milik tanah dan kebajikan kerana Kerajaan Pahang dalam proses mewartakan tanah seluas 8,571 hektar lagi sebagai Tanah Rizab Orang Asli.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah tersebut merupakan tambahan kepada 7,156 hektar yang telah diwartakan setakat ini dan 8,958 hektar yang telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang untuk pewartaan.

“Ini bermakna masyarakat orang asli di Pahang seramai 89,000 orang tidak perlu risau kerana ini adalah sebahagian daripada usaha untuk terus membantu kebajikan mereka.

“Dengan pewartaan berkenaan, tanah-tanah itu tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, cuma prosesnya mengambil sedikit masa,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Padang Awam Pos Iskandar di sini.

Hadir sama Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor, Exco Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan Exco Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Ujarnya, mengambil kira keseluruhan kawasan bagi tujuan itu di Pahang, ia lebih besar berbanding keluasan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berkeluasan 24,346 hektar.

"Ini membuktikan Kerajaan Pahang di bawah Barisan Nasional (BN) tidak meminggirkan masyarakat orang asli sebaliknya golongan minoriti itu terus mendapat pembelaan sewajarnya termasuk dalam aspek penyediaan prasarana asas seperti bekalan air dan elektrik yang diperlukan," katanya.

Wan Rosdy berkata, terdapat seramai 89,375 orang asli atau 5.59 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Pahang yang mencecah 1.6 juta orang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jika dibandingkan dengan keseluruhan orang asli di Semenanjung Malaysia yang berjumlah 198,000 orang, Pahang merupakan negeri yang mempunyai masyarakat minoriti itu paling ramai.

Beliau menambah langkah menambah tanah rizab itu adalah penting kerana jumlah keseluruhan orang asli di Semenanjung Malaysia adalah seramai 198,000 di mana Pahang menyumbang kira-kira 45.12 peratus menjadikan Pahang negeri paling ramai orang sli di negara ini.

Sementara itu, dalam majlis samabeliau turut mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 bagi suku orang asli Semelai bagi mendokumentasikan adat dan seni budaya mereka.