STL Premier 2019: Perak Bison akui saingan semakin sengit

Antara aksi menarik dipamerkan Perak Bison pada aksi minggu kelima di Gem In Mall, Cyberjaya. Foto: STL 2019
Antara aksi menarik dipamerkan Perak Bison pada aksi minggu kelima di Gem In Mall, Cyberjaya. Foto: STL 2019
A
A
A

PERAK Bison menyifatkan pusingan kedua saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2019 lebih sengit dan mencabar biarpun pasukan dari Perak itu melakar tiga kemenangan pada aksi minggu kelima di Gem In Mall, Cyberjaya yang berakhir kelmarin.

Ketua Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail berkata, beliau sememangnya telah menjangkakan pada pusingan kedua saingan dalam kalangan pesaing akan menjadi lebih sengit berdasarkan kutipan mata penyandang juara Penang Black Panthers, Perak Bison dan Johor Tigris.

“Alhamdulillah percaturan taktikal Perak Bison pada minggu kelima ini menjadi apabila kami menang kesemua perlawanan walaupun pada awalnya kami keciciran set ketika menentang Negeri Sembilan Antlers dan Terengganu Turtles.

“Saya bukan tidak mahu menghabiskan perlawanan lebih awal, sebab seandainya kami guna sepenuhnya tekong Thailand, Nattawhut Naewprom pada masa itu memang kami akan menang awal.

Kedudukan saingan STL Premier minggu kelima.
Kedudukan saingan STL Premier minggu kelima.

“Tapi saya tidak mahu mengambil risiko kecederaan pemain kerana saingan liga masih panjang pada ketika pesaing-pesaing mula mempamerkan peningkatan pusingan kedua ini,” katanya yang menggunakan penggiliran pemain.

Perak Bison memulakan kempen minggu kelima dengan menewaskan Terengganu Turtle 2-1 diikuti kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan Antlers dan mengatasi PDRM Defenders 2-0.