Polis kulit putih didakwa bunuh wanita kulit hitam di AS

Aaron Dean menembak mati seorang wanita kulit hitam dari Texas.
Aaron Dean menembak mati seorang wanita kulit hitam dari Texas.
A
A
A

WASHINGTON - Seorang anggota polis kulit putih yang menembak mati seorang wanita kulit hitam dari Texas, Amerika Syarikat ketika mangsa bermain permainan video bersama anak saudaranya didakwa atas tuduhan membunuh, kata pihak polis semalam.

Aaron Dean menembak mati, Atatiana Jefferson, 28, dari luar kediaman mangsa di Fort Worth awal pagi Sabtu lalu ketika mangsa mendekati tingkap setelah mendengar bunyi bising di luar rumah.

Terdahulu, seorang jiran menghubungi polis setelah mendapati pintu depan rumah Jefferson terbuka.

Rakaman kamera badan polis menunjukkan dua orang anggota polis mengelilingi rumah mangsa dengan lampu suluh sebelum ternampak seseorang berdiri berhampiran tingkap di dalam rumah.

"Beranggapan berdepan ancaman, anggota polis itu mengeluarkan senjata dan melepaskan tembakan ke arah mangsa," kata pasukan polis Fort Worth.

Difahamkan, Dean yang berkhidmat di Jabatan Polis Fort Worth sejak tahun 2017 tidak mengenalkan diri sebagai polis sebelum melepaskan tembakan.

"Kami semua berasa patah hati hari ini. Atatiana merupakan seorang wanita cantik dan bijak yang telah dirampas daripada keluarganya," kata Datuk Bandar Fort Worth, Betsy Price sambil menambah panel bebas terdiri daripada pakar akan menyiasat insiden berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis sementara Fort Worth, Ed Kraus yang menamakan suspek berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh, telus dan pantas.

Artikel Berkaitan:

Insiden tersebut berlaku kurang dua minggu selepas seorang anggota polis wanita berkulit putih dipenjarakan kerana menembak mati seorang lelaki kulit hitam dalam apartmennya di Dallas. - AFP