Jumpa Azmin hanya bincang ekonomi negara, kata Anwar

Anwar (kiri) mengadakan mesyuarat santai bersama Azmin (tengah) dan Saifuddin Nasution di kafe Parlimen tengah hari tadi.
Anwar (kiri) mengadakan mesyuarat santai bersama Azmin (tengah) dan Saifuddin Nasution di kafe Parlimen tengah hari tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan pertemuan santai bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kafe Parlimen tengah hari tadi bertujuan berdamai antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pertemuan yang turut disertai Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada jam 12.30 tengah hari tadi adalah satu mesyuarat biasa untuk membincangkan masalah ekonomi negara.

Menurutnya, isu dalaman berkenaan PKR masih terkawal dengan parti masih diuruskan dengan baik.

"Kita cuma bincang mengenai ekonomi negara. Isu parti terkawal, parti baik.

"Kami bincang mengenai isu ekonomi negara selama 30 minit," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan pihaknya kini mempunyai masalah pergeseran dengan Mohamed Azmin sehingga menyebabkan timbul desas-desus Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu ingin menubuhkan parti baharu.

Mengenai kemungkinan kehadiran Mohamed Azmin dalam mesyuarat jawatankuasa PKR pada masa hadapan, Anwar menegaskan pihaknya tiada banyak masa untuk membincangkan soal itu kerana ada banyak masalah ekonomi yang harus diselesaikan.

"Saya tidak ada masa nak tanya. Sebab banyak masalah ekonomi yang harus dibereskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Syed Husin Ali membuat dakwaan bahawa Mohamed Azmin akan menubuhkan parti baharu kerana pergeseran politik dengan Anwar.

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal Mohamed Azmin yang menyifatkan Syed Husin cemburu dengan kejayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meraih sokongan gemuruh daripada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sebab saya tinggalkan PKR, melainkan ada yang cemburu - Azmin