Mayat rentung ditemui dalam kabin terbakar

Anggota bomba dan penyelamat memadam kebakaran. Foto: Ihsan Bomba
A
A

KUANTAN - Satu mayat ditemui dalam keadaan rentung dalam sebuah kabin yang musnah terbakar berhampiran Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuantan di sini awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai wanita namun identitinya belum dikenal pasti.

Menurutnya, bomba menerima panggilan daripada MERS 999 jam 5 pagi sebelum 24 anggota dan empat pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota diarahkan ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran.

Anggota bomba melakukan pemeriksaan ke atas kabin yang terbakar hingga mengorbankan seorang mangsa, awal pagi tadi.
Foto: PIX IHSAN BOMBA
Anggota bomba melakukan pemeriksaan ke atas kabin yang terbakar hingga mengorbankan seorang mangsa, awal pagi tadi. Foto: PIX IHSAN BOMBA

"Operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dengan kekuatan anggota seramai 16 orang berjaya mengawal dan memadam kebakaran jam 5.14 pagi.

"Kabin berkeluasan kira-kira 6x3 meter yang merupakan bekas tempat tinggal pekerja dan pernah dijadikan surau musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.

"Hasil pemeriksaan dijalankan anggota ke atas kabin tersebut menemui satu mayat dalam keadaan rentung," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.