Warga emas lari berlumuran darah jerit minta tolong

Gambar mangsa yang cedera dan mendapat rawatan di HUSM yang dikongsi di media sosial.
Gambar mangsa yang cedera dan mendapat rawatan di HUSM yang dikongsi di media sosial.
A
A
A

BACHOK - Seorang wanita warga emas berlari dalam keadaan berlumuran darah sambil menjerit meminta pertolongan kerana ditetak penyamun di kedai makan miliknya di hadapan Masjid Mahligai Gunong di sini Sabtu lalu.

Saidah Mat Yusoff, 69, cedera pada lengan dan tapak tangan kiri akibat ditetak dengan parang oleh lelaki bertopeng muka dalam kejadian jam 6 pagi.

Suami mangsa, Ibrahim Harun,72, berkata, sebelum itu dia dan isteri ke kedai makan mereka untuk persiapan memulakan perniagaan dan kemudian dia ke masjid yang terletak di seberang jalan berhadapan kedai untuk solat Subuh.

Katanya, ketika itu azan berkumandang dan tinggal Saidah bersendirian di kedai mereka sebelum Ibrahim tiba-tiba terdengar suara isterinya yang menjerit meminta pertolongan menyebabkan dia bergegas berpatah balik ke kedai berkenaan.

“Ketika itu saya nampak isteri berlari ke arah saya sambil tangan kanannya memegang tangan kiri yang berlumuran darah.

“Dia memberitahu seorang lelaki bertopeng muka meragut rantai leher yang dipakai dan menetak tangannya sebelum melarikan beg tangan yang mengandungi barangan kemas dan wang tunai,” katanya hari ini.

Menurutnya, Saidah memberitahunya lagi, sebaik dia ke masjid lelaki tersebut masuk melalui pintu bahagian tepi kedai yang sudah dipecahkan terlebih awal dan keluar melalui pintu sama selepas merompak dan menetaknya.

“Saya membawa isteri ke Klinik Kesihatan Mahligai sebelum dirujuk ke HUSM (Hospital Universiti Sains Malaysia) untuk rawatan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

“Kami berniaga sejak 2002 dan sudah dua kali berlaku kecurian namun hanya membabitkan kehilangan tong gas dan kali ini pertama kali isteri berdepan dengan penjenayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan giat menjejaki suspek bagi membantu siasatan.

“Kami meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak,” katanya.