Tenaga buruh wanita perlu dicungkil, kata Wan Azizah

Wan Azizah -Foto Bernama
Wan Azizah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sumber tenaga buruh wanita perlu dicungkil dan dimanfaatkan bagi memastikan Malaysia dapat mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, data terkini menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh berada pada tahap 55.2 peratus pada tahun lepas manakala penyertaan lelaki pula pada tahap 80.4 peratus dalam tempoh yang sama.

"Ini jelas menunjukkan terdapat begitu ramai wanita yang berkebolehan tetapi kebolehan mereka tidak dapat dimanfaatkan.

"Banyak kajian mendapati wujudnya jurang yang besar bagi peluang ekonomi antara wanita dan lelaki," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Wanita dan Keluarga Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh.

Dr Wan Azizah berkata, seorang wanita mungkin menjadi satu-satunya punca mata pencarian keluarga ataupun seorang usahawan yang mempunyai perniagaan yang pelbagai.

"Kita juga mahir melaksanakan pelbagai pekerjaan atau tugas dalam satu-satu masa (multi tasking). Kita sama-sama tahu sisi gembira dan jerih perih melaksanakan peranan yang pelbagai ini," katanya.

Kementerian memandang serius isu penganiayaan dan penindasan terhadap wanita daripada semua sudut dan mahu isu ini ditangani dengan berhati-hati agar langkah-langkah yang diambil benar-benar cekap dan berkesan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat lepas, Dr Wan Azizah berkata, banyak inisiatif baharu yang memberi kesan secara langsung atau tidak kepada kesejahteraan wanita dan keluarga.

"Hari ini kadar kesuburan di Malaysia telah menurun dengan ketara daripada 4.9 kadar kelahiran pada tahun 70an kepada 1.9 kadar kelahiran bagi setiap wanita.

"Oleh itu, bagi membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan, KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF)," katanya.

Katanya, dengan Belanjawan 2020 yang seimbang dan menyeluruh, hasrat untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam ekonomi dan menghapuskan jurang gender akan dapat dicapai dengan agresif dan signifikan. - Bernama