Negeri Sembilan komited kembalikan kegemilangan hoki

Aminuddin (tengah) bersama pasukan Kelab Hoki Gemencheh D pada perlawanan akhir Hoki Piala Liga Menteri Besar Negeri Sembilan di Kompleks Sukan Tan Sri Dr Mohd Said hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mahu mengembalikan kegemilangan sukan hoki di negeri ini dengan melahirkan lebih ramai pemain hebat dan membentuk pasukan yang digeruni seperti yang pernah dicapai sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan berkata, pihaknya kini giat menggilap bakat anak-anak muda bermula daripada peringkat sekolah rendah sehingga sekolah menengah menerusi penganjuran pertandingan dan liga hoki.

"Sejak mengambil alih persatuan ini pada tahun lepas, saya ingin mengembalikan kegemilangan hoki di negeri ini. Pada tahun hadapan kita akan masuk Liga Hoki Kebangsaan di mana ia merupakan permulaan yang kita susun.

"Meskipun ia memerlukan kos tinggi, namun kita berusaha ke arah tersebut bagi merealisasikan harapan anak-anak muda di negeri ini yang sememangnya kita tahu pada satu ketika dahulu Negeri Sembilan antara negeri yang mengeluarkan pemain kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas acara penutup Liga Hoki Negeri Sembilan Piala Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan, yang turut dihadiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.

Pada era 60-an dan 70-an, Negeri Sembilan berjaya melahirkan ramai pemain hebat mewakili negeri dan negara seperti Lawrence van Huizen, William Fidelis, Satwant Singh Dhaliwal, N. Palanisamy, Brian Sta Maria, Michael Yan, Kevin Nunis, C. Thavanayagam, M. Joseph dan Peter van Huizen.

Malah, Negeri Sembilan adalah antara pasukan yang digeruni di negara ini pada ketika itu.

Pada kejohanan itu, bagi kategori lelaki, Kelab Hoki Gemencheh D muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala pusingan.

Tempat kedua disandang pasukan Tampin Elite yang menerima RM7,500 beserta pingat manakala Sekolah Menengah Dato Mohd Taha Senior (SMKDMT) meraih tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan pingat.

Bagi kategori perempuan, Kelab Hoki KLIA dinobatkan juara dan membawa pulang wang tunai RM5,000, Kelab Hoki Rusa di tempat kedua dengan membawa pulang wang RM3,000 serta Projek Bawah 14 Tahun Negeri Sembilan merangkul tempat ketiga dan membawa pulang RM2,000.

Kejohanan yang bermula 21 Julai lepas dan berakhir hari ini, disertai 20 pasukan membabitkan 15 pasukan lelaki dan bakinya pasukan perempuan. - Bernama