Cadangan jadikan program i-Suri mandatori dikaji: TPM

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. FOTO: BERNAMA
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan menjadikan Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) mandatori kini dikaji di peringkat Jabatan Peguam Negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ia akan mengambil masa tiga tahun untuk menjadikan caruman dua peratus dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang kini dijalankan secara sukarela sebagai mandatori.

“Cadangan pindaan ini sekarang berada di pejabat Peguam Negara dan jika dipersetujui akan dibawa ke Parlimen untuk dibentang dan diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K: Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1), di sini hari ini.

Wan Azizah berkata, caruman itu kini dijalankan secara sukarela oleh suami kerana isteri yang telah membantu membina keluarga.

"Kita kena berikan satu penjelasan kepada para suami tentang kebaikan caruman ini untuk masa depan bersama dan ia akan berikan lebih lunak buat kita buat satu akta untuk pastikan suami memberi dua peratus caruman kepada isteri," katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 semalam, kerajaan mengumumkan program i-Suri ditambah baik dengan beri peluang suami sumbang dua daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isteri.

Selain itu, Wan Azizah turut menyambut baik insentif buat pasangan yang ingin mendapatkan rawatan kesuburan.

Beliau berkata, ia adalah satu langkah baik untuk golongan B40 dan M40 yang ingin mendapat anak, yang sebelum ini turut menjadi perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Artikel Berkaitan:

Wan Azizah berkata, insentif tersebut bukan sahaja mengurangkan bebanan kewangan tetapi membawa kebahagiaan kepada pasangan yang inginkan anak, sekaligus memberi satu perasaan yang tidak boleh dibeli.

Belanjawan itu turut mengumumkan KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF).

Selain itu, turut diumumkan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.

Secara keseluruhannya, Wan Azizah berkata, Belanjawan 2020 lebih seimbang dan menyeluruh kerana kaum wanita dan kanak-kanak turut diberi keutamaan.

Beliau berkata, dalam Belanjawan 2019 kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) baharu di bangunan kerajaan dan sejumlah 66 buah Taska telah mendapat manfaat berbanding sasaran awal 50 Taska.

"Bagi tahun 2020, kerajaan telah bertindak prihatin dengan meningkatkan peruntukan kepada RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi Taska di bangunan kerajaan terutamanya di hospital dan sekolah pada tahun hadapan.

"Insya-ALLAH lebih banyak Taska akan dapat diwujudkan dan lebih banyak keluarga, ibu bapa dan anak-anak yang akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini," katanya.

Selain itu, Wan Azizah berkata, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke Taska dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000.

"Kita berharap lebih ramai ibu bapa atau penjaga akan memilih untuk menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak-anak lebih terjamin," katanya.

Dalam bidang pendidikan bagi kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Wan Azizah berkata, kerajaan memperuntukkan RM23 juta kepada sekolah kebangsaan untuk meningkatkan kemudahan dan tahap aksesibiliti sekolah untuk menjadikannya lebih mesra OKU.

"Ini selari dengan dasar penolakan sifar yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak-kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka. Alhamdulillah," katanya. - Bernama