Belanjawan 2020 bukti kerajaan PH terus perkasa agama Islam

Fuziah (tengah) mendengar penerangan ketika meninjau tapak pameran sempena program tersebut.
Fuziah (tengah) mendengar penerangan ketika meninjau tapak pameran sempena program tersebut.
A
A
A

JERANTUT - Peruntukan sebanyak RM1.3 bilion bagi hal ehwal agama Islam dalam Belanjawan 2020 membuktikan agenda membangunkan agama Islam terus diperkasakan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Fuziah Salleh berkata, pihaknya berbesar hati dengan peruntukan diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam dalam usaha pihaknya membangunkan agenda-agenda pengukuhan agama Islam di negara ini.

"Ini menunjukkan bahawa kita dapat terus membangunkan dan memperkasakan agenda hal ehwal Islam di negara ini terutamanya pengumuman bayaran kepada imam, tok siak, guru tahmid. Itu menunjukkan pengiktirafan kepada tugas-tugas mereka selama ini.

"Peningkatan elaun kepada guru-guru KAFA menunjukkan kita mengiktiraf tugas mereka mendidik fardu ain kepada anak-anak kita," katanya pada sidang media sempena pelancaran program Sepakat@Komuniti Peringkat Negeri Pahang 2019 di Dataran Terminal Bas Inderapura di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan dan Pengarah Jabatan Penerangan Pahang, Mohd Saimun Mustafa.

Dalam pada itu, Fuziah turut menyifatkan kenaikan tempoh cuti 90 hari bagi wanita bersalin berbanding 60 hari sebelum ini sebagai satu khabar gembira, selain penubuhan satu jawatankuasa khas untuk melihat kepada kewangan Islam.

"Kalau nak cakap memang tak (boleh) henti, banyaknya manfaat kepada rakyat secara langsung atau tak langsung," katanya sambil menyifatkan belanjawan kali ini sebagai bajet rakyat kerana mengambil kira keperluan dan suara di peringkat akar umbi

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuantan mengakui, masih banyak lagi aspek-aspek lain yang boleh dilaksanakan dan ditambah baik untuk masa akan datang antaranya kebajikan guru-guru KAFA.

Artikel Berkaitan:

"Ia sesuatu yang ada kesan secara langsung kepada usaha kita untuk menyerap guru-guru ini ke jawatan, yang sebenarnya selama 30 tahun agak ketinggalan, namun saya yakin apabila ekonomi meningkat dan pulih semula, kita boleh kaji semula dan banyak lagi boleh dibuat," jelasnya.