Nur Azura Yamani, nama anak perempuan Jamal Abdillah

Jamal Abdillah meluahkan rasa syukur dengan kelahiran cahaya mata perempuannya, Nur Azura Yamani. - Foto: Instagram Osama Yamani
A
A

PENYANYI terkenal, Datuk Jamal Abdillah baru sahaja menimang cahaya mata perempuan apabila isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, selamat bersalin di sebuah Pusat Perubatan Swasta di Shah Alam pada jam 5.35 petang Khamis.

Bayi comelyang diberi nama Nur Azura Yamani itu dilahirkan dengan berat 2.7kg menerusi kaedah pembedahan dan kini dalam keadaan yang sihat.

Jamal, 60, sebagaimana dilaporkan sebuah portal online meluahkan rasa syukurnya dengan kehadiran cahaya mata perempuan yang telah lama dinantikan itu.

“Alhamdulillah ia adalah anugerah terindah daripada ALLAH SWT kerana sudah lama saya menanti kehadiran cahaya mata perempuan sekali gus melengkapkan rumah tangga,” katanya sebagaimana yang dipetik daripada portal berkenaan.

Jamal mendirikan rumah tangga dengan isteri pada 1 April 2017 dan ini merupakan perkahwinan kali keempat buatnya.

Sebelum ini penyanyi kelahiran Ipoh, Perak itu pernah berkahwin sebanyak tiga kali, namun ketiga-tiganya berakhir dengan penceraian.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal dikurniakan dua anak lelaki, Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.