Ketua Menteri Melaka sahkan ADUN DAP ditahan polis

G Saminathan
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari mengesahkan Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna, G Saminathan ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan namun belum dapat dipastikan kes berkaitan.

Adly yang ditemui pemberita di pejabatnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini memberitahu, beliau telah dimaklumkan mengenai penahanan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek itu namun tidak dapat mengulas lanjut berikutan tiada maklumat mendalam.

"Saya tahu beliau baru sahaja ditahan. Saya yakin pihak berkuasa memerlukan maklumat daripada Yang Berhormat kita (Saminathan) dan saya difahamkan Yang Berhormat sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Bukit Aman.

"Kenapa dia ditahan kita tidak tahu lagi. Kita akan dapatkan maklumat daripada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai ADUN DAP itu ditahan dan digari di pejabatnya di Seri Negeri.

Menerusi hantaran di Facebook Pergerakan Pemuda Bahagian Kota Melaka, Saminathan ditahan oleh Polis Anti Pengganas dari Bukit Aman kerana didapati terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam).

Sementara itu, di Negeri Sembilan, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran juga dipercayai telah ditahan oleh pihak berkuasa polis yang sama pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada pengesahan dilakukan sehingga kini ini.

AKAN MENYUSUL