Pegawai kanan Menteri Sumber Manusia ditahan SPRM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan seorang pegawai kanan menteri ditahan dalam satu serbuan di kementerian itu pada pagi ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya telah menahan pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dipercayai berhubung isu pengambilan pekerja asing.

Beliau berkata, seorang lagi individu lain turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan agensi pengambilan pekerja asing.

"Penahanan yang dibuat itu adalah berkaitan dengan dakwaan bahawa mereka yang terlibat telah menubuhkan agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan daripada kementerian walaupun terdapat konflik kepentingan," katanya pada Khamis.

Azam berkata, ekoran dakwaan itu, sekumpulan pegawai SPRM telah bertindak menyerbu Kementerian Sumber Manusia pagi tadi.

Jelas beliau, siasatan SPRM akan turut tertumpu kepada individu lain dalam kementerian tersebut dan agensi berkaitannya.

Sementara itu, V Sivakumar dalam satu kenyataan berkata, beliau maklum berkenaan penahanan pegawai daripada pejabatnya.

Bagaimanapun katanya, memandangkan perkara itu masih dalam siasatan pihak SPRM, beliau tidak dapat memberi sebarang komen berhubung isu tersebut.

"Saya dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan.

"Justeru itu, saya berharap pihak media tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak sehingga siasatan agensi berkenaan selesai," katanya pada Khamis.