'Vietnam tak kebal'

Cheng Hoe optimis para pemainnya mampu menewaskan Vietnam. - Foto Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Foto: KAMARUL AKHIR / ASIANA.MY
Cheng Hoe optimis para pemainnya mampu menewaskan Vietnam. - Foto Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Foto: KAMARUL AKHIR / ASIANA.MY
A
A
A

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya para pemainnya mampu menundukkan Vietnam dalam aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium My Dinh, Hanoi malam esok.

Menurutnya, beliau menilai banyak perubahan positif yang telah berlaku dalam pasukan negara dan optimis ia bakal menjadi detik terbaik meraih kemenangan di stadium keramat skuad Naga Emas itu.

"Saya sedar kemampuan Vietnam yang sememangnya bukan calang-calang pasukan. Tetapi, sebagai seorang jurulatih, saya percaya dalam sukan bola sepak ini, mana-mana pasukan mampu untuk ditundukkan dan kami mahu meraih kemenangan.

"Kami juga telah melakukan persediaan rapi selain saya juga percaya pasukan negara sudah bertambah baik berbanding ketika pertemuan dalam saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu," katanya dalam sidang media, sebentar tadi.

Sebagai rekod, ketika saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu, Malaysia gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga pertemuan menentang Vietnam yang melibatkan saingan peringkat kumpulan dan dua aksi timbal balik pada perlawanan akhir.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia tewas 0-2 di Stadium My Dinh dan terikat 2-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil ketika aksi final pertama sebelum tewas tipis 0-1 pada perlawanan timbal balik kedua di Hanoi.

Mengulas lanjut, kata Cheng Hoe, beliau juga mengharapkan kelibat pemain kacukan seperti Matthew Davies, La'Vere Corbin-Ong dan Brendan Gan serta tonggak naturalisasi, Mohamadou Sumareh mampu memberikan impak dalam perlawanan tersebut.

"Kesemua mereka setakat ini memberikan impak dan kekuatan yang bagus kepada pasukan. Namun, bermain di tempat lawan ia akan memberikan tekanan tinggi kepada semua pemain.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga meraih motivasi yang baik apabila menang besar ke atas Sri Lanka baru-baru ini. Saya harap momentum kemenangan itu akan dapat diteruskan," katanya.