Banduan didakwa liwat rakan sepenjara

Tertuduh, Lizal Che Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan meliwat rakan sepenjaranya di Penjara Marang
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang banduan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana didakwa meliwat rakan sepenjara di Penjara Marang pada September lalu.

Tertuduh, Lizal Che Ismail, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat.

Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa meliwat Mohd Johari Ghazali,28, di sel Penjara Marang kira-kira jam 2 pagi pada 6 September lalu.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Nooriah Osman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tertuduh direkodkan mahkamah menetapkan 5 November depan untuk sebutan semula kes dan tiada tawaran jaminan diberikan.

Tertuduh sedang menjalani hukuman tujuh bulan penjara di penjara berkenaan selepas mengaku salah memiliki dadah iaitu mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, di Mahkamah Majistret Besut, pada 14 Julai lalu.