Program Subsidi Petrol: Kerajaan tidak ikhlas bantu rakyat

Bantuan tunai dikreditkan terus ke akaun penerima BSH empat bulan sekali mulai tahun depan.
Bantuan tunai dikreditkan terus ke akaun penerima BSH empat bulan sekali mulai tahun depan.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menganggap bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak ikhlas membantu rakyat kerana kadar tawarannya sangat rendah dan tidak masuk akal.

Ketua Pemudanya, Shahir Adnan berkata, setelah dikira jumlah keseluruhannya, amat jelas rakyat dijadikan bahan jenaka dan diperkotak-katikkan dalam isu ini.

“Penerima bantuan untuk motosikal ialah RM12 sebulan atau RM144 setahun. Ini bermakna rakyat golongan B40 ini hanya menerima bantuan subsidi sebanyak 40 sen sehari.

“Tidak cukup dengan itu bayaran hanya dibuat setiap empat bulan. Kami musykil dengan pandangan kerajaan yang sangat berkira untuk menolong rakyat kerana perlu menanti mendapatkan bayaran RM48 setiap empat bulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai Program Subsidi Petrol (PSP) yang bakal dilaksanakan Januari 2020.

Shahir Adnan
Shahir Adnan

PSP adalah bantuan tunai yang dikreditkan terus kepada akaun penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) empat bulan sekali dan menggantikan subsidi petrol sedia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, program ini langsung tidak mengambil kira golongan M40, sekali gus tidak membantu golongan tersebut yang juga pembayar cukai kepada kerajaan.

"Golongan berkenaan majoritinya anak muda berpendapatan tetap dan setia menyumbang hasil pendapatan mereka kepada negara.

“Program ini juga dilihat tidak adil kerana hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia. Adakah ini gula-gula politik ke arah Pilihanraya Sarawak 2020-2021?," katanya.

Shahir berkata, DPIM berharap kerajaan bersikap telus memberikan penjelasan kepada rakyat dengan penjimatan RM6 bilion setiap tahun hasil program subsidi terbaru itu.

“Ke manakah perginya duit-duit ini? Pada masa yang sama, aset-aset negara dijual tetapi hutang negara makin meningkat. Ini adalah suatu keadaan ekonomi yang tidak masuk akal,” katanya.