Harimau Malaya tak gentar gelora Hanoi

Cheng Hoe bersama skuad Harimau Malaya di KLIA sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam hari ini. - Foto Bernama
Cheng Hoe bersama skuad Harimau Malaya di KLIA sebelum berlepas ke Hanoi, Vietnam hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

HARIMAU Malaya tidak gentar dengan aura Stadium My Dinh, Hanoi apabila membuat perhitungan dengan Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Khamis ini.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya para pemainnya cukup matang dan sudah biasa beraksi dengan tekanan di stadium yang dipenuhi penyokong lawan.

Malah, beliau juga optimis Harimau Malaya mampu untuk menangani tekanan tersebut seperti yang dilakukan ketika membenam Indonesia 3-2 pada aksi sulung di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta 5 September lalu.

“Saya rasa penyokong lawan (Vietnam) bukan masalah utama kepada pasukan negara kerana semua pemain pernah merasa bermain di stadium yang dipenuhi penyokong.

“Setiap pemain kena ada keyakinan dan semangat yang tinggi semasa bermain di sana, soal penyokong lawan dan suasana di stadium bukan masalah,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Tiga perlawanan terakhir menentang Vietnam menyaksikan Harimau Malaya gagal meraih kemenangan dengan mencatatkan dua kekalahan dan satu seri.

Malah, rekod Harimau Malaya apabila bertandang di Stadium My Dinh yang mampu memuatkan 41,000 penyokong itu juga kurang baik apabila tewas pada aksi peringkat kumpulan dan final Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Menyedari rekod tersebut, Cheng Hoe mengingatkan barisan pemainnya supaya lebih berhati-hati dengan corak permainan Vietnam bagi mengelakkan kekalahan sama berulang.

Artikel Berkaitan:

“Saya kena akui ia bukan tugas mudah. Mereka mempunyai corak bertahan dan serangan balas yang bagus. Saya minta para pemain supaya tidak buat kesilapan mudah dan tukar mind set walaupun kita bermain di gelanggang lawan.

“Berbanding pada Piala AFF lalu, kita dah ada sedikit perubahan dalam pasukan dan ada peningkatan dalam permainan. Saya rasa ia sedikit sebanyak akan memberikan kelainan dalam pasukan negara kali ini.

“Saya mengharapkan keputusan positif dapat dicapai skuad negara untuk memastikan laluan ke peringkat seterusnya mudah untuk kita lalui,” katanya.