PRK Tanjung Piai: Lebih minat isu tempatan berbanding perkauman

Parlimen Tanjung Piai (Gambar kecil: Tung Siong)
Parlimen Tanjung Piai (Gambar kecil: Tung Siong)
A
A
A

PONTIAN - Ramai beranggapan isu perkauman akan menjadi cabaran utama kepada parti politik tidak kira Pakatan Harapan (PH) mahupun pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Namun bagi pemimpin tempatan di Parlimen Tanjung Piai, pandangan berbeza disuarakan di mana pengundi dilihat lebih berminat dengan isu tempatan berbanding isu nasional seperti perkauman.

Parlimen Tanjung Piai ( P165) terdiri daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pekan Nanas dan Kukup di mana 53,528 pengundi berdaftar dengan komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu dan 41.64 peratus Cina.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Yeo Tung Siong berkata, tiada guna bercakap tentang sentimen perkauman jika isu tempatan masih membebani rakyat.

Tung Siong yang juga Pengerusi DAP Parlimen Tanjung Piai berkata, politik yang bertanding seharusnya memfokus kepada objektif untuk rakyat dengan memperjuangkan nasib mereka.

"Objektif mereka perlu terang dan memfokuskan kepada bagaimana taraf hidup ditingkatkan dan menyatupadukan rakyat.

"Tiada guna mainkan isu perkauman kerana tidak beri apa-apa manfaat sebaliknya yang menang akan jadi arang yang kalah akan jadi abu," katanya kepada Sinar Harian.

Tung Siong yang sudah dua penggal menjadi ADUN Pekan Nanas seterusnya menggariskan empat isu utama yang perlu diberi perhatian.

Artikel Berkaitan:

Beliau tidak menolak, empat isu utama yang memfokuskan kepada pembangunan tempatan akan dibawa ke peringkat pucuk pimpinan PH peringkat Tanjung Piai untuk dijadikan manifesto bagi PRK Tanjung Piai.

Empat isu utama itu ialah jalan raya penghubung Pekan Nanas-Pontian, pembinaan hospital baharu, pembinaan pusat dialisis dan pembinaan stadium mini baharu di kawasan Pekan Nanas.

Tung Siong menjelaskan isu jalan raya penghubung Pekan Nanas-Pontian sejauh kira-kira 10 kilometer (km) yang mendap dan berlubang walaupun sudah berulang kali dibaiki sering mendapat perhatian dan hangat diperkatakan di media sosial.

Katanya, jalan Pekan Nanas- Pontian merupakan penghubung utama ke Johor Bahru, Gelang Patah dan Skudai seterusnya ke Singapura yang menjadi tempat bagi kebanyakan penduduk di Pontian dan Pekan Nanas mencari rezeki.

"Jalan Pekan Nanas-Pontian merupakan jalan tanah gambut menyebabkan jalan kerap rosak, tidak rata dan mendap. Setiap kali ada yang luahkan tentang jalan, mesti dapat perhatian dan banyak yang luahkan perasaan tidak puas hati di media sosial.

"Pastinya PH pandang serius tentang isu jalan di sini. Tiada guna jika asyik betulkan sahaja tetapi rosak semula. Perlu ada jalan penyelesaian jangka masa panjang," katanya.

Jelasnya, Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan & Teknologi JKR (CREaTE) telah menjalankan kajian terhadap struktur tanah bagi mengatasi isu jalan raya Pekan Nanas-Pontian pada bulan Jun lalu.

"Kajian ini akan siap pada bulan depan. Jangkaannya, puluhan juta perlu dikeluarkan kerajaan bagi membina jalan baharu dengan langkah-langkah yang sesuai sebagaimana dicadangkan dalam kajian itu nanti.

"Saya juga akan berjumpa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi membincangkan isu jalan selepas kajian selesai dilakukan. Kajian profesional ini akan memberi penyelesaian terhadap isu jalan Pontian Pekan Nanas dalam tempoh lebih panjang berbanding kini yang kerap walaupun sudah dibaiki," katanya.

Menyentuh tentang isu kedua hospital Tung Siong berkata, hospital baharu perlu dibina di daerah Pontian bagi menampung pertambahan penduduk.

"Saya difahamkan hospital sedia ada di daerah ini sudah berusia 100 tahun. Perlu ada hospital baharu dan dicadangkan agar ia dibina di Pekan Nanas. Pekan Nanas dirasakan lebih strategik bagi pembinaan hospital pakar kerana dekat dengan Johor Bahru," katanya.

Berkenaan pembinaan pusat hemodalisis, Tung Siong menjelaskan Pekan Nanas masih tidak mempunyai pusat hemodialisis sama ada di bawah swasta mahupun kerajaan.

Situasi itu disifatkan sebagai membimbangkan kerana rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang amat diperlukan.

"Di Benut ada dua pusat hemodialisis di bandar Pontian ada empat pusat hemodialisis termasuk di Hospital Pontian. Tapi tiada pusat hemodialisis di Pekan Nanas. Lebih baik Pekan Nanas ada pusat hemodialisis sendiri kerana pesakit tidak perlu bersusah payah untuk ke Pontian atau Johor Bahru," katanya.

Mengakhiri perbualan Tung Siong menjelaskan sebuah stadium mini perlu dibina bagi memudahkan penduduk dan pelajar sekolah bersukan.

Ini kerana terdapat sekolah yang tidak mempunyai padang antaranya SMK Pekan Nanas dan SJKC Yu Ming.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 1 Oktober lalu PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan pada 16 November di mana Hari Penamaan Calon pada 2 November manakala Hari Mengundi Awal pada 12 November.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi janting.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU14) lalu, Md Farid yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi dengan menewaskan Datuk Seri Wee Jeck ( BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas).

Kerusi Parlimen Tanjung Piai memiliki 53,528 pengundi berdaftar pada PRU14 dengan komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.