WKB2030 basmi kemiskinan rakyat

Azmin
Azmin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembasmian Kemiskinan rakyat menjadi hala tuju dalam kerangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, WKB2030 bakal menjana pertumbuhan ekonomi yang rancak ke arah mencipta kekayaan dan kemakmuran negara untuk dikongsi bersama semua rakyat.

“Wawasan ini yang berteraskan pertumbuhan penciptaan kekayaan adalah menjurus untuk membasmi kemiskinan dan membebaskan mereka daripada kesengsaraan dan penderitaan hidup.

“Komitmen kerajaan tidak berganjak dan kami akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat ini demi mengangkat darjat dan martabat mereka,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran WKB2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pagi tadi.

Beliau berkata WKB2030 juga merupakan satu ikhtiar mempertegas iltizam kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap perlaksanaan keadilan kesaksamaan yang merentasi kaum, kelas pendapatan dan wilayah.

Katanya, WKB2030 dibentangkan tepat pada masanya tatkala ekonomi global sedang bercelaru dan dilanda suasana ekonomi yang muram dan tidak menentu.

“Negara ini amat bertuah kerana tatkala tempoh wawasan 2020 hampir digaris penamat, negarawan yang mencetuskan wawasan tersebut kembali semula ke tampuk pemerintahan untuk mengangkat Malaysia ke tahap yang berdaya maju, mampan dan berdaya saing

“Wawasan ini menyediakan 'turbo charge' untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan melonjak kepada ekonomi berpendapatan tinggi serta meningkat kuasa beli rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu Mohamed Azmin berkata, kementeriannya akan memantau pelaksanaan dan kemajuan WKB2030 untuk memastikan objektif tercapai.

“Kerajaan yakin matlamat wawasan ini akan dicapai melalui peningkatan kepelbagaian ekonomi dengan memberi fokus industri berteknologi dan berimpak tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital dan pertanian berteknologi tinggi.

“Kestabilan dan keutuhan dalam mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban akan memberikan keyakinan kepada pelabur-pelabur asing dan domestik untuk melabur di Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka dan bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan dalam sektor baharu yang lebih berinovatif dan berteknologi tinggi,” katanya.