Sultan Nazrin berkenan rasmi 10 sistem SafeWhere

Sultan Nazrin berkenan minum air daripada sistem rawatan air lapangan SafeWhere sempena majlis perasmiannya di Kampung Orang Asli Batu 14 hari ini.
Sultan Nazrin berkenan minum air daripada sistem rawatan air lapangan SafeWhere sempena majlis perasmiannya di Kampung Orang Asli Batu 14 hari ini.
A
A
A

TAPAH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat merasmikan pemasangan 10 sistem rawatan air lapangan Safe Water Everywhere (SafeWhere) di tujuh kampung orang asli dalam daerah Batang Padang, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Ahmad Nazim Azlan Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Prof Dr Juli Edo.

Sistem rawatan air sumbangan Yayasan Sultan Azlan Shah (YSAS) itu telah beroperasi sejak 7 September lalu membabitkan dana keseluruhan RM1.1 juta termasuk kos penyelenggaraan selama 10 tahun.

Pemegang Amanah YSAS, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dalam ucapannya berkata, pemasangan unit sistem rawatan air berkuasa solar itu berupaya membekalkan air terawat kepada lebih 1,100 penduduk.

Menurutnya, ia dibangunkan Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan hanya mengambil masa lima minggu sahaja.

"Tujuh kampung yang menerima rawatan air ini ialah Kampung Orang Asli Batu 14, Batu 15, Batu 16, Batu 17 Sekam Bawah, Batu 17 Landing Zone, Batu 19 dan Kampung Orang Asli Batu 20.

"Pemilihan kampung ini dibuat hasil kajian dijalankan IMARET dan Pejabat Kesihatan Daerah Batang Padang selepas mendapati terdapat keperluan air terawat dalam kalangan penduduk yang bergantung sementara kepada sumber semula jadi sekali gus terdedah risiko penyakit bawaan air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, inisiatif bekalan air terawat itu urut membabitkan pembinaan empangan mini di Kampung Orang Asli Batu 17 Sekam Bawah.

"Hasil projek ini sudah tentunya mencerminkan hasrat Almarhum Sultan Azlan Shah untuk memperbaiki dan menaik taraf keperluan rakyat. "Kita harap ia akan menjadi pemangkin kepada syarikat dan organisasi lain turut serta menyumbang dalam projek sama di tempat-tempat lain yang belum menerima akses kepada bekalan air terawat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Koordinat IMARET, Dr Ahmad Munawar Helmi Salim berkata, sistem pertama berkapasita tinggi dibina pada 2015 di Dabong, Kelantan menjana sehingga 35,000 liter sehari dan masih berfungsi sehingga kini.

Jelasnya, ia diikuti pembinaan sistem kedua pada 2017 bagi merawat air tasik di Kampung Pasir Salam, Johor dan tahun lalu SafeWhere dibina di Hutan Rekreasi Gunung Belumut, Kluang Johor berikutan masalah kencing tikus.

"Inovasi ini dipelopori Dr Mohd Arshil dari ATM pada 2011 di Bamyam, Afghanistan dan telah berjaya mengurangkan 60 peratus penyakit bawaan air yang menjadi punca kematian kanak-kanak di sana.

"Di luar negara, lima sistem SafeWhere telah dipasang di penempatan 1.2 juta pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh dan empat unit di penempatan sementara mangsa gempa dan tsunami di Palu, Sulawesi," katanya.

Tok Batin Kampung Batu 17 Landing Zone, Long berkata, bekalan air terawat yang disediakan menjadikan semua 200 penduduk kampung itu mendapat kemudahan air bersih.

"Sebelum ini tak semua rumah ada paip air kerana ada sebahagian masih gunakan sumber sungai tapi sejak projek ini dilaksanakan mereka dah bertukar gunakan air terawat," katanya.

Kampung berkenaan merupakan kawasan paling jauh dan hanya boleh diakses menggunakan motosikal atau berjalan kaki yang mengambil masa perjalanan antara dua ke tiga jam.