Bekas ketua gengster pilih Islam sebagai pegangan

penghuni penjara yang menyertai program memasak bubur asyura.
penghuni penjara yang menyertai program memasak bubur asyura.
A
A
A

KUANTAN - Mimpi mendengar azan berkumandang menjadikannya sekali gus antara sebab bekas ketua gengster ini memilih Islam sebagai pegangannya.

Bapa kepada dua anak yang mahu dikenali sebagai Anas bersyukur kerana ALLAH memilihnya menerima hidayah itu ketika sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor empat tahun lalu.

Lelaki berusia 53 tahun itu menerima hukuman di atas kesalahan samun bersenjata.

Katanya, selepas memeluk Islam jiwanya kini tenang dan insaf semakin menebal apabila setiap hari berpeluang membaca al-Quran dan mengikuti pelbagai program keagamaan.

"Sebelum ini saya buta huruf tetapi ustaz dan rakan di Penjara banyak mengajar saya mengenai ilmu agama dan kini saya boleh membaca seperti orang lain.

"Program pemulihan Halaqak membantu saya mengukuhkan pegangan terhadap Islam dan kini saya mampu menghafal beberapa surah al-Quran dan berpeluang menyertai pertandingan ujian hafazan peringkat kebangsaan dan beberapa program keagamaan peringkat penjara Pahang," katanya ketika ditemui di Penjara Penor, semalam.

Anas bersama banduan lain menyertai program memasak asyura peringkat penjara Penor

Program yang bermula pada jam 8 pagi itu itu dianjurkan oleh Unit Pemulihan Penjara Penor dan disertai 35 banduan pemulihan fasa dua dibantu 27 kakitangan penjara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebelum ini dia pernah menganut tiga agama dan terakhir Buddha sebelum mendapat hidayah menerima Islam.

"Islam memberi ketenangan jiwa dan kerana itu isteri saya turut memeluk islam selepas saya memberitahu saya sudah Islam. Doa saya dimaklumkan ALLAH," katanya.

Anas yang menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun dan akan bebas pada 2022 berkata, dia bercadang meneruskan pengajian Islam kerana masih banyak ilmu yang perlu dipelajarinya.

Sementara itu, Ketua Unit Pemulihan Penjara Penor Ketua Inspektor Penjara (KIP), Rosmizi Mohamed berkata, program memasak asyura diadakan setiap tahun dan disertai banduan terpilih dengan kerjasama kakitangan penjara.

Jelasnya, sebanyak tujuh kawah asyura resipi Pantai Timur dan Utara disediakan secara gotong-royong

"Bubur asyura akan diagihkan kepada semua banduan kerana dengan cara itu diharap dapat mengembalikan kenangan mereka kepada kampung halaman.

"Saya harap cara ini dapat menimbulkan keinsafan kepada mereka yang tersilap langkah memilih jalan," katanya.