Suami isteri maut, dua anak parah kemalangan

Salah seorang mangsa dihantar ke Hospital Dungun bagi mendapatkan rawatan susulan.- Foto PDRM
Salah seorang mangsa dihantar ke Hospital Dungun bagi mendapatkan rawatan susulan.- Foto PDRM
A
A
A

DUNGUN- Sepasang suami isteri maut, manakala dua anak lelaki mereka parah selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan dalam kejadian di Jalan Kerteh 2/3, berhampiran Ketengah Jaya di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa yang maut, Kamal Hisham Mustaffa Mohamad, 35, dan isterinya, Norhapisah Idris, 34, manakala anak mereka, Muhammad Darwish Iqbal, 9, dan Muhammad Danish Irfan, 11, parah di kepala dan dihantar mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Dungun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa, Kamal Hisham Mustaffa dalam perjalanan dari arah Jalan Paka- Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) menghala ke arah Jalan Kerteh 2/3.

"Setibanya di lokasi (1 kilometer dari simpang 3, jalan Paka-AMBS), kereta dipandu tukang rumah itu hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang datang dari arah Jalan Kerteh 2/3.

Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk di lokasi kejadian.- Foto PDRM
Keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk di lokasi kejadian.- Foto PDRM

"Akibat rempuhan kuat itu, pemandu dan isterinya yang juga penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala dua anak mereka yang juga penumpang di belakang parah di kepala.

"Selain itu, pemandu Perodua Alza, Mohd Zulkifli Ab Aziz, 39, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh dan penumpang hadapan, Mohd Suhaimi Mat Hasan, 22, jurutol, patah kaki kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Abd Razak berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.